Khamis, 30 Mei 2013

ADAB BERKENAAN MASJID


Masjid yang amat sinonim sebagai pusat ibadat umat Islam memainkan peranan penting selain solat. Ia merupakan tempat menuntut dan menyebarkan ilmu, pengajian Al-Quran, dan sebuah tempat yang menjanjikan ketenangan buat para pengunjung.
Seharusnya, setiap orang yang mengunjungi Rumah Allah mengambil perhatian terhadap adab yang seharusnya ada:

1. Ikhlas kerana Allah.

Apabila seseorang menuju dan memasuki masjid, dia hendaklah berniat untuk beribadat kepada Allah, bukannya menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa dia sedang beribadat di masjid.

2. Menuju ke masjid dengan sopan dan tenang.

Pastikan perjalanan menuju ke masjid tidak disertai dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti gelak ketawa dan dalam keadaan gopoh-gapah.

3. Menjaga pakaian dan perhiasan.

Masjid adalah tempat yang mulia. Maka setiap tetamu Allah yang pergi ke masjid mesti dalam keadaan menutup aurat dan menjaga dirinya daripada menampakkan perhiasan yang tidak sepatutnya diperlihatkan.

4. Mempraktikkan adab-adab berada di dalam masjid.

Adab-adab tersebut termasuklah yang tersurat dan tersirat. Adab-adab yang tersurat seperti menjaga percakapan, pendengaran dan perlakuan. Manakala tersirat ialah kedudukan hati ketika berada di dalam masjid. Apabila melangkah ke dalam masjid, hendaklah berzikir, berselawat, melangkah dengan kaki kanan dan menunaikan solat tahiyyat masjid.

5. Tidak membuat perkara yang sia-sia.

Berkata sesuatu yang tidak mendatangkan faedah merupakan perbuatan yang sia-sia. Seharusnya, seseorang itu menjaga dan menahan diri darpada berbicara kecuali perkara yang memanfaatkan untuk agama.

6. Tidak menjadikan masjid sebagai tempat lalu-lalang. 

Tidak wajar bagi seseorang yang lalu di dalam masjid hanya untuk sesuatu kepentingan tanpa menunaikan solat dua rakaat. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “antara tanda-tanda kiamat adalah apabila seseorang lalu di dalam masjid tanpa menunaikan solat dua rakaat di dalamnya dan orang yang memberi salam kecuali kepada orang yang dikenalinya.” (riwayat al-Tabarani).

7. Menanam rasa cinta terhadap masjid. 

Seseorang yang inginkan kebaikan dan pahala perlu berusaha menanam rasa cinta terhadap masjid dengan amalan-amalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah seperti zikir, solat, majlis ilmu, dan sebagainya. Usaha yang dilakukan untuk datang ke masjid juga bukti seseorang mencintai masjid. Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan dalam hadis Baginda bahawa seseorang yang “meletakkan” masjid di hatinya akan di naungi Allah s.w.t.

8. Mengubah tempat jika mengantuk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika berada di dalam masjid, hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya ke tempat yang lain.” (riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, orang yang mengantuk di dalam masjid contohnya ketika berzikir, mendengar tazkirah atau mengikuti kelas pengajian agama, dia hendaklah mengubh posisinya untuk menghilangkan rasa mengantuk.

9. Memelihara kebersihan masjid.

Biarpun masjid itu tidak dihiasi dengan batu marmar dan perhiasan yang mahal dan cantik, jangan memilih tempat untuk beribadat. Setiap masjid perlu dijaga dan dipelihara kebersihannya dan kesuciannya daripada sebarang kekotoran dan maksiat.

Khamis, 16 Mei 2013

ERTI HIKMAH

Terleka dirinya sebentar apabila menatap gambarnya ketika masih berada di bangku sekolah. Dilihatnya tulisan di belakang gambar kelasnya tersebut. 
Kadang kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita menangis dan tertanya-tanya,
Ke mana hilangnya sinar,
Rupa-rupanya,
Allah nak hadiahkan kita pelangi.
* * * * *
"Zinnirah, cepat! Kelas dah nak mula ni," teriak sahabatnya, Sofea, sambil berlari- lari anak untuk mendapatkan Iman yang masih sibuk menyiapkan kerja sekolah di kantin tanpa menyedari waktu rehat sudah pun tamat.
"Hish, macam mana boleh lupa pula kerja sekolah matematik ni! Matilah aku kena leter dengan Cikgu Iman," getus hatinya. Setelah mengemas barang-barangnya, Zinnirah berlari-lari anak mendapatkan sahabatnya, Sofea dan terus menuju ke kelas.
"Bangun semua. Assalamualaikum Cikgu Iman," laung ketua kelas diikuti rakan-rakan seperjuangan.
"Waalaikumussalam. Jangan duduk lagi," permintaan Cikgu Iman membuatkan hati Zinnirah seakan-akan mahu gugur.
"Baiklah, cikgu nak kamu semua keluarkan homework yang cikgu bagi semalam. Cikgu akan round," kali ini Iman merasakan jantungnya sememangnya sudah jatuh dari tempat asalnya. Cikgu Iman sudah sampai ke tempat duduk Zinnirah, dikerlingnya buku Zinnirah yang berada di hujung meja. Tiba- tiba sahaja Cikgu Iman berhenti betul- betul di sisinya.
"Zinnirah!" Cikgu Iman menyebut namanya.
"Ya cikgu," jawab Zinnirah. Kelihatan kawan- kawanya yang berada di dalam kelas mengambil kesempatan untuk melihat drama pendek yang bakal dia tempuhi.
"Sampah dekat kaki tu kutip," terus Cikgu Iman berlalu kemeja yang lain. Seakan tidak percaya kerana dirinya tidak menjadi sasaran. Dilihat buku matematik yang berada di hujung mejanya.
"Patutlah, cikgu tak tengok bahagian belakang, Alhamdulillah," hatinya mengucap kesyukuran yang teramat sangat.
* * * * *
Waktu pembelajaran pada hari itu berjalan seperti biasa. Akhirnya waktu yang ditunggu-tunggu telah tiba oleh para pelajar. Sesi pembelajaran tamat.
"Tak lama lagi percubaan. Kau dah sedia ke Zinnirah?" soal Sofea kepada Zinnirah.
"Haa? Kau janganlah nak tanya aku pasal benda ni. Aku belajar macam mana pun kau tetap atas aku," jelas Zinnirah.
Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Zinnirah. Sofea boleh dikatakan seorang yang suka tidur di dalam kelas. Kadang kala kerja sekolahnya disiapkan lambat-lambat tetapi Sofea lebih cemerlang darinya. Selalu juga difikirkan apa silapnya, mungkin banyak, namun dia tidak boleh kalah.
Mungkin Allah mahu menjadikan dirinya seorang yang lebih berusaha, hanya Allah yang tahu. Sebagai seorang hamba, dia hanya mampu meminta yang terbaik.
Perbualan terhenti di situ, Sofea tidak mahu berkata apa-apa kerana takut menyinggung perasaan sahabatnya itu.
* * * * *
Peperiksaan percubaan SPM telah pun berlalu, kini keputusannya sudah diedarkan kepada murid-murid. Kelas 5 Kejuruteraan Awam juga merasa bahangnya.
Kelihatan Zinnirah sedang termenung sambil memikirkan keputusannya yang tidak seberapa. Dikerlingnya kertas peperiksaan percubaan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris sahabatnya, Sofea telah cukup membuatkan hatinya menangis hiba. Dilihatnya pula kertas peperiksaan dirinya sendiri memang jauh beza markahnya
"Kenapalah aku tak boleh jadi macam Sofea? Nak kata aku tak belajar aku belajar. Tapi kenapa susah nak dapat macam dia?" getus hati Zinnirah.
Tiba-tiba dia terfikir untuk melihat semua kertas yang telah diedarkan semua guru mata pelajaran. Zinnirah melihat semua kertas-kertas peperiksaan yang telah diberikan oleh semua guru, dan dia tersenyum kerana buat pertama kalinya subjek Matematik telah lulus walaupun markahnya hanya di atas pagar. Kini Zinnirah telah nekad dalam dirinya, walau apa pun yang bakal terjadi dia akan berusaha dan tidak akan putus untuk berdoa kepada yang Maha Mengetahui.
Kini SPM sedang berjalan seperti biasa. Debarannya tidak begitu kuat, tetapi apabila mahu menyerahkan kertas jawapan pada pengawas yang bertugas barulah dirinya seperti mahu mengambil balik kertas tersebut dan memeriksanya semula. Hanya tawakal dan doa sahaja yang mampu dilakukan selepas menyerahkan kertas jawapan. Terdapat juga rakan seperjuangan yang dulu tidak pernah mahu belajar dan datang ke sekolah hanya untuk melengkapkan rutin harian tetapi mula berubah menjadi ulat buku, ada juga yang seperti tidak mahu berenggang dengan buku tersebut apabila menghampiri ke hari peperiksaan.
* * * * *
"Abah, along takutlah," pendek kenyataan yang diberi Zinnirah kepada bapanya tetapi cukup mengambarkan perasaan berdebarnya untuk mengambil keputusan SPM pada hari itu.
"Apa nak ditakutkan sekarang. Patutnya takut sewaktu nak ambil SPM dulu," kata bapa Zinnirah membuatkan dirinya lebih seperti cacing kepanasan.
Sampai di sekolah, keputusan peperiksaan telah pun diumumkan. Lantas Zinnirah mendapatkan sahabatnya, Sofea. Mereka telah berjanji untuk berjumpa di sekolah kerana Sofea baru sahaja balik dari Program Latihan Khidmat Negara.
"Assalamualaikum, Sofea macam mana keputusan engkau?" terus Zinnirah menyoal keputusan yang sedang dipegang oleh Sofea kerana debarannyasemakin  dirasa.
"Waalakumussalam, Alhamdulillah. Aku berjaya dapat 4A. Kau pergilah cepat ambil keputusan boleh kita lepak lama-lama lepas ni," terang Sofea dalam keadaan gembira.
Zinnirah bergerak untuk mengambil keputusan. Setelah keputusan berada di tangannya, dia merasa amat terkilan atas usaha dirinya selama ini. Kenapa dirinya masih tidak boleh menandingi Sofea.
"Macam mana Zinnirah?" tanya Sofea.
"Bolehla, dapat 1A je," perlahan nada percakapan Zinnirah.
"Tak apalah. Zinnirah, matematik kau B lah!" suara Sofea memecah kesedihan Zinnirah.
"Yalah, Alhamdulillah!" pendek ulasan Zinnirah.
Pulang ke rumah, Zinnirah duduk termenung di beranda sambil memikirkan nasibnya selepas ini. Walaupun dirinya layak untuk menyambung pelajaran tetapi bukan dalam bidang kejuruteraan awam. Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan. Memang jauh dari cita-cita asalnya tetapi apa yang boleh dibuatnya. Hanya itu yang layak bagi dirinya.
* * * * *
Selepas bertahun-tahun berlalu, akhirnya Zinnirah berjaya dalam bidang perakaunan. Kini dirinya telah bergelar pendidik. Dulu dia sering jatuh kini gilirannya pula untuk membantu sesiapa yang rasa kehilangan walhal mereka masih belum temui sinar hikmah yang sebenar. Terlalu besar hikmahnya sehingga kita akan bersyukur dengan apa yang berlaku dahulu. Tiba-tiba lamunan Zinnirah terhenti apabila salah seorang muridnya datang untuk berjumpa denganya.
"Cikgu Zinnirah, ada apa nak jumpa saya?" tanya pelajar tersebut.
Lantas zinnirah menyimpan gambar tersebut dan memandang tepat ke wajah pelajarnya.
"Cikgu nak ucapkan tahniah kepada kamu," terang Zinnirah .
"Tapi saya punya matematik tak berapa ok?" soal pelajar itu kembali.
"Tapi kamu dah berjaya untuk meluluskan diri kamu. Percayalah kata cikgu, teruskan usaha dan jangan sesekali mengeluh. Allah Maha Mengetahui segalanya," tersenyum pelajar tersebut antara faham dan tidak faham.
Setelah selesai pelajar tersebut meninggalkan meja guru yang bernama Nur Zinnirah dengan ucapan terima kasih kerana menyokong dirinya dan keluar dari bilik guru dengan impian untuk berjaya. Dari jauh Zinnirah tersenyum dan berharap anak didiknya akan faham suatu hari nanti.
"Suatu hari kamu akan faham wahai anak didik ku."

Khamis, 18 April 2013

PERSOALAN MANUSIA, AL-QURAN JAWAB..



1. KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
~Surah Al-Ankabut ayat 2-3~



2. KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal dia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
~Surah Al-Baqarah ayat 216~




3. KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
~Surah Al-Baqarah ayat 286~




4. KITA BERTANYA : KENAPA RASA KECEWA?

QURAN MENJAWAB:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
~Surah Al-Imran ayat 139~




5. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."


6. KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
~Surah Al-Baqarah ayat 45~




7. KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."
~Surah At-Taubah ayat 111~



8. KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.~
~Surah At-Taubah ayat 129~



9. KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB:
"..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
~Surah Yusuf ayat 87~ 

10 PETANDA DIA JODOH KITA



Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :



1. Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.


2. Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima Kita Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa Jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.



5. Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.


6. Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan Kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.


9. Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh Yang Maha Esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, ni’mat di dunia ini hanya sementara.Ni’mat di akhirat adalah kekal selamanya.

WANITA MULIA


Maulana Syed Ahmad Khan dalam penulisannya menceritakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita.

Antaranya:

**seorang wanita yang solehah lebih baik dari seorang wali. Hal ini dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud;dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.
-hadis riwayat Muslim.

**wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah rezekinya.

**wanita yang membersihkan lantai sambil berzikir akan mendapat pahala seperti membersihkan Baitullah.

**banyakkan berzikir ketika memasak kerana Allah akan sentiasa memberkati rezeki wanita yang memasak sambil berzikir.

**sentiasalah menutup aurat kerana wanita yang menutup aurat akan ditingkatkan oleh Allah nur wajahnya 13 kali ganda dari wajah asal.

Jumaat, 29 Mac 2013


REVOLUSI SYRIA..... APA YANG BERLAKU DI SEBALIKNYA???



PUNCA KEBANGKITAN ADALAH : Ada sekumpulan kanak-kanak seramai lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN. Slogan ini telah dilaungkan di negara2 yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak2 itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak2 itu serta kanak2 lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak2 itu, mereka perlu memberi wanita2 dikalangan mereka untuk dinikahi oleh puak2 kerajaan Syria ini ( satu bentuk penghinaan), maka berlakulah kebangkitan di Syria.

 Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria. Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.

Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad. Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a. "Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.”

Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk ayat 81:
“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap."

Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:

“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”

Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.

Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.

“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.

Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.

Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.

Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.

Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.

Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.

Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.

“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”

“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas Israel?” tanya beliau.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi penakut dengan Israel.

Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.
Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:
“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).

Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau Syria.

Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.

Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:

"Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”

Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur.

Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama yang 'berilmu' tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.

“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.

Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku di Syria. Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.

“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”

Khamis, 21 Mac 2013

KISAH KAYU SUGI

Satu Kisah benar, disebuah masjid

Ada sorang hamba Allah hendak mengambil wudhu. Dia cari2 miswak (kayu sugi) dia tiada dalam kocek. Dia cari punya cari rupanya hilang,lalu dia pun terus menangis.

Ada seorng mufti ternampak dia menangis, lalu bertanya:

"kenapa kamu menangis?"

"sugi aku hilang"

"Takpelah, nanti boleh beli yg baru. cuma RM1 sahaja"

"Bukan masalah tu, harini aku telah meninggal kan 1 SUNNAH dalam hidup ku"

Mufti itu terkejut lalu berkata," KAU LEBIH FAHAM AGAMA DARIPADA AKU"