Khamis, 30 Mei 2013

ADAB BERKENAAN MASJID


Masjid yang amat sinonim sebagai pusat ibadat umat Islam memainkan peranan penting selain solat. Ia merupakan tempat menuntut dan menyebarkan ilmu, pengajian Al-Quran, dan sebuah tempat yang menjanjikan ketenangan buat para pengunjung.
Seharusnya, setiap orang yang mengunjungi Rumah Allah mengambil perhatian terhadap adab yang seharusnya ada:

1. Ikhlas kerana Allah.

Apabila seseorang menuju dan memasuki masjid, dia hendaklah berniat untuk beribadat kepada Allah, bukannya menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa dia sedang beribadat di masjid.

2. Menuju ke masjid dengan sopan dan tenang.

Pastikan perjalanan menuju ke masjid tidak disertai dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti gelak ketawa dan dalam keadaan gopoh-gapah.

3. Menjaga pakaian dan perhiasan.

Masjid adalah tempat yang mulia. Maka setiap tetamu Allah yang pergi ke masjid mesti dalam keadaan menutup aurat dan menjaga dirinya daripada menampakkan perhiasan yang tidak sepatutnya diperlihatkan.

4. Mempraktikkan adab-adab berada di dalam masjid.

Adab-adab tersebut termasuklah yang tersurat dan tersirat. Adab-adab yang tersurat seperti menjaga percakapan, pendengaran dan perlakuan. Manakala tersirat ialah kedudukan hati ketika berada di dalam masjid. Apabila melangkah ke dalam masjid, hendaklah berzikir, berselawat, melangkah dengan kaki kanan dan menunaikan solat tahiyyat masjid.

5. Tidak membuat perkara yang sia-sia.

Berkata sesuatu yang tidak mendatangkan faedah merupakan perbuatan yang sia-sia. Seharusnya, seseorang itu menjaga dan menahan diri darpada berbicara kecuali perkara yang memanfaatkan untuk agama.

6. Tidak menjadikan masjid sebagai tempat lalu-lalang. 

Tidak wajar bagi seseorang yang lalu di dalam masjid hanya untuk sesuatu kepentingan tanpa menunaikan solat dua rakaat. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “antara tanda-tanda kiamat adalah apabila seseorang lalu di dalam masjid tanpa menunaikan solat dua rakaat di dalamnya dan orang yang memberi salam kecuali kepada orang yang dikenalinya.” (riwayat al-Tabarani).

7. Menanam rasa cinta terhadap masjid. 

Seseorang yang inginkan kebaikan dan pahala perlu berusaha menanam rasa cinta terhadap masjid dengan amalan-amalan yang mendekatkan dirinya kepada Allah seperti zikir, solat, majlis ilmu, dan sebagainya. Usaha yang dilakukan untuk datang ke masjid juga bukti seseorang mencintai masjid. Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan dalam hadis Baginda bahawa seseorang yang “meletakkan” masjid di hatinya akan di naungi Allah s.w.t.

8. Mengubah tempat jika mengantuk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika berada di dalam masjid, hendaklah dia berpindah dari tempat duduknya ke tempat yang lain.” (riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, orang yang mengantuk di dalam masjid contohnya ketika berzikir, mendengar tazkirah atau mengikuti kelas pengajian agama, dia hendaklah mengubh posisinya untuk menghilangkan rasa mengantuk.

9. Memelihara kebersihan masjid.

Biarpun masjid itu tidak dihiasi dengan batu marmar dan perhiasan yang mahal dan cantik, jangan memilih tempat untuk beribadat. Setiap masjid perlu dijaga dan dipelihara kebersihannya dan kesuciannya daripada sebarang kekotoran dan maksiat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan